Ulama gila kuasa boleh keliru pemikiran rakyat

E-mail dari Samsuri

SEJARAH berulang kali menunjukkan betapa berbahayanya apabila ulama agama
yang gila kuasa berada dalam kedudukan di mana mereka mempunyai peluang
berkuasa. Peluang ini saja akan digunakan untuk mengelirukan rakyat
mengenai kebenaran dan kepalsuan.

Dengan kekeliruan ini, mudah bagi mereka menyuntik pengaruh ke dalam minda
serta jiwa rakyat. Muslim beriman dengan al-Quran tahu akan bahaya ulama
gila kuasa ini kerana Allah memberi amaran dalam firman-Nya bermaksud:

"Hai orang beriman, sesungguhnya kebanyakan di antara pendeta dan ulama
mereka itu memakan harta manusia dengan jalan batil (tiada hak) dan mereka
menghalangi orang daripada jalan Allah. Orang yang menyimpan emas dan
perak, dan tidak membelanjakannya di jalan Allah, hendaklah beri mereka
peringatan dengan seksaan yang pedih." ? (Surah at-Taubah, ayat 34)

Golongan ulama gila kuasa ini memakan harta manusia dengan cara palsu
serta menghalang manusia daripada jalan Allah. Mereka akan cuba mengerah
rakyat untuk menyokong mereka dengan harta benda dan nyawa bagi mencapai
hasrat kuasa politik.

Cara mereka membawa manusia jauh daripada jalan Allah dilakukan dengan
kaedah begitu halus dan tersembunyi. Mereka tidak akan terang-terangan
menentang kebenaran tetapi akan bersandiwara sebagai pembawa lampu suluh
kebenaran.

Mereka mewujudkan suatu suasana pemikiran di mana orang mula percaya
bahawa menyokong mereka bererti menyokong Allah dan membantah mereka
bermakna membantah Allah.

Orang berpandukan al-Quran tidak mudah terperangkap dengan kaedah
psikologi seperti ini kerana mereka berpegang teguh kepada firman Allah
yang bermaksud:

"Ingatlah! Hanya bagi Allah agama yang suci (daripada syirik). Orang yang
mengambil beberapa tuhan selain daripada-Nya (berkata): Kami tiada
menyembah mereka (berhala-berhala), melainkan supaya mereka mendekatkan
kami kepadaAllah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum
antara mereka mengenai apa-apa yang mereka memperselisihkan. Sesungguhnya
Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang dusta lagi kafir." ? (Surah
az-Zumar, ayat 3)

Segala suruhan atau larangan ulama gila kuasa ini akan digambarkan kepada
rakyat sebagai 'fatwa' yang wajib diikuti untuk mendekatkan diri mereka
kepada Allah.

Seperti firman Allah dalam surah az-Zumar di atas, akan ada orang yang
terpengaruh mengikuti mereka dengan pemikiran salah bahawa itulah caranya
mendekatkan diri kepada Allah dan Islam.

Apabila orang ramai menggadai pemikiran mereka dan mengikuti suruhan serta
larangan ulama gila kuasa secara membuta tuli, maka ulama dipertuhankan
dan Allah diketepikan.

Inilah juga sebabnya ulama gila kuasa seperti ini suka menggambarkan diri
mereka sebagai pentafsir mutlak ayat al-Quran sehingga ada antara mereka
tergamak mengatakan bahawa al-Quran susah untuk difahami.

Sikap mereka amat berlainan dengan sikap contoh yang dibawa oleh sarjana
dan ulama besar seperti Imam Ghazali, Imam Hambali, Imam Shafie dan Imam
Maliki. Ini adalah imam yang mengajak manusia berfikir mengenai ajaran
Allah dan Rasul-Nya tanpa menimbulkan permusuhan sengaja.

Ini kerana ulama agama yang sebenar mengajak manusia ke jalan Allah dengan
beriman kepada firman Allah seperti firman-Nya bermaksud: "Serulah
(manusia) kepada (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang
baik, dan berbantahlah (berdebatlah) dengan mereka dengan (jalan) yang
terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang yang sesat dari
jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk." (Surah
an-Nahl, ayat 125)

Sebaliknya, ulama gila kuasa mesti mencari jalan untuk mengekalkan
kedudukan mereka sebagai pakar rujuk mutlak serta sumber hukum-hakam
berkaitan keimanan seseorang.

Oleh yang demikian, mereka tidak akan berfikir panjang untuk memfatwakan
musuh politik mereka atau orang yang mahu mengikuti ajaran Allah dan
Rasul-Nya saja sebagai kafir atau murtad.

Jika golongan ini berkuasa penuh, orang ini akan dihukum bunuh kerana
mereka menyangka dengan cara ini ajaran Allah sebenar boleh dijenazahkan
sekali.

Mereka menjadi diktator yang memperalatkan agama. Golongan ini, di samping
menindas kaum mereka sendiri, akan tidak mampu bekerjasama dengan kaum
lain yang tidak sealiran dengan pandangan mereka.

Sebarang perkahwinan politik mereka adalah perkahwinan mutahah dan bukan
ikhlas atau berpanjangan. Sebarang janji pakatan dengan mudah akan
dimungkiri dengan putar belit lidah.

Mereka akan mempelajari ilmu agama serta memilih ilmu mana yang berpihak
kepada mereka. Mereka akan berpakaian dengan cara yang dianggap popular
sebagai 'Islam' supaya orang ramai tidak mudah mengenali diri mereka
sebenarnya.

Bagi golongan ini, simbol keagamaan lebih penting daripada amalan inti
atau prinsip ajaran Allah.

Ucapan mereka akan diselitkan dengan nama sarjana Islam sebenar dan
disegani serta ungkapan dalam bahasa Arab yang panjang lebar walaupun
sedar keseluruhan hadirin adalah orang yang hanya faham bahasa Melayu.

Tujuan mereka untuk mempesona, mempengaruhi, mengeliru dan bukan untuk
mengajak hadirin ke jalan Allah.

Kaedah ini amat canggih serta halus kerana ulama gila kuasa ini berjaya
menjauhkan rakyat daripada jalan Allah dengan memperlatakan nama Allah dan
Islam.

Namun, kaedah ini bukan sesuatu yang baru kerana Allah merakamkan kaedah
seperti ini untuk peringatan kita yang bermaksud:

"Dan antara mereka itu ada satu golongan yang memutarbelitkan lidah mereka
dengan (membaca) kitab supaya kamu menyangkanya ia daripada kitab, padahal
ia bukanlah dari kitab; dan mereka berkata, `Ia dari sisi Allah' padahal
bukan dari sisi Allah dan mereka berkata dusta terhadap Allah sedang
mereka mengetahui." ?(Surah Ali Imran, ayat 78)

Sebagai iktibar, sekiranya kita melihat kepada peperangan saudara yang
memusnahkan kehidupan orang Afghansitan serta negara mereka, kita
mendapati bahawa tidak ada satu negara Islam pun yang berjaya mendamaikan
mereka.

Wakil 'Kerajaan Islam' Afghanistan di Kuala Lumpur, Abdul Sattar Murad,
berkata puak Taliban adalah puak ekstrimis yang gila dan kejam yang
mempunyai orang yang berminat terhadap keganasan.

Namun, pihak Taliban yang dipimpin Mullah Mohammad Omar merasakan mereka
mewakili kumpulan yang 'menegakkan kerajaan Islam'. Akhirnya masing-masing
berperang dan bunuh-membunuh dengan alasan masing-masing benar. Perkara
ini mungkin sebenarnya pergelutan kuasa politik secara kekerasan.

Hakikatnya, rakyat Afghanistan merana, miskin, rendah tahap kesihatan dan
tidak pernah sunyi daripada keganasan.

Afghanistan juga adala negara yang membekalkan hampir tiga suku daripada
bekalan ganja dunia pada 1999. Sebaliknya, Allah menjanjikan kejayaan
kepada umat Islam.

Apakah negara Afghanistan adalah contoh 'negara Islam' atau negara orang
Islam yang amat mundur? Tidak salah dari segi fakta sekiranya kita
mengatakan bahawa ulama di Afghanistan bukan saja gagal melahirkan
perdamaian, malah menjadi sebahagian daripada pencetusan keganasan dan
kesengsaraan rakyat di sana.

Di sini, kita perlu sedar bahawa Allah menjanjikan pemberian atau
rahmatnya manakala syaitanlah yang menjanjikan kemiskinan seperti firman
Allah yang bermaksud:

"Syaitan itu menjanjikan kepadamu dengan kemiskinan, dan menyuruh kamu
berbuat yang keji, tetapi Allah menjanjikan kepadamu suatu keampunan
daripada-Nya dan kurnia; dan Allah luas (kurnia-Nya), lagi Maha
Mengetahui." ? (Surah al-Baqarah, ayat 268)

Maka, mustahil kemiskinan, keganasan, kesengsaraan, penindasan atau
pemusnahan harta benda adalah ajaran Allah dan Rasul-Nya. Kita harus
belajar memahami tanda ini yang ditunjuk Allah.

Rakyat Malaysia akan menyesal suatu kesalan yang tidak berkesudahan
sekiranya kita berterusan dengan sikap memendamkan daya pemikiran kita
berkaitan dengan hal keagamaan.

Kejahilan agama adalah tapak semaian baik untuk menanam sifat keterlaluan
serta keganasan di atas nama agama.

Apabila minda kurang pengetahuan dan hati kurang keyakinan, maka ulama
gila kuasa mampu mengapi-apikan emosi, sentimen dan perasaan untuk
mencapai tujuan jahat mereka.

Adik-beradik, jiran, serta saudara sejemaah akan digalak untuk bermusuhan
sesama sendiri dan tercetuslah perang saudara.

Jangan kita fikir perkara ini tidak boleh berlaku dalam negara kita kerana
tandanya yang dicetuskan oleh segelintir rakyat yang tidak
bertanggungjawab sudah lama wujud di sini.

Monopoli keagamaan oleh ulama gila kuasa harus diawasi jika kita hendak
mengekalkan ketenteraman serta sifat perikemanusiaan kita seperti mana
yang diajar oleh Allah.

Golongan muda serta yang kurang berpengetahuan selalu menjadi sasaran
ulama gila kuasa ini untuk menanam fahaman ekstrimisme mereka.

Ini sebabnya kita biasanya dapati golongan muda yang menjadi dinding serta
askar penting dalam sebarang kumpulan militan dan orang 'tua' yang menjadi
guru atau ulama yang mengarah.

Langkah kerajaan dalam mengawasi tindak-tanduk kumpulan militan ini
sejajar dengan tugas mereka sebagai pemimpin yang diamanahkan untuk
melindungi keselamatan rakyat.

Namun, rakyat serta kerajaan perlu bersikap berwaspada kepada sebarang
individu atau kumpulan yang cuba untuk menjadi diktator agama.

Matlamat ulama gila kuasa ialah untuk menjadi diktator agama yang dapat
mengawal segala aspek kehidupan manusia supaya mereka berkuasa penuh, sama
seperti yang dilakukan oleh Firaun.

Diktator agama berbahaya kerana mereka akan mendakwa bahawa kuasa mereka
untuk melakukan apa saja yang mereka suka itu mendapat restu Tuhan dan
mereka hanya menjalankan perintah Ilahi.

Sebarang bantahan terhadap tindak-tanduk mereka akan ditafsir sebagai
bantahan terhadap perintah Ilahi dan akibatnya amat parah.

Adakah golongan ini akan membenarkan kita bertanya kepada mereka seperti
mana yang diajar oleh Allah kepada kita dalam firman-Nya bermaksud: "Atau
apakah kamu memperoleh janji-janji yang diperkuat dengan sumpah dari Kami,
yang tetap berlaku sampai hari kiamat; sesesungguhnya kamu benar-benar
dapat mengambil keputusan (sekehendakmu)?

"Tanyakanlah kepada mereka: Siapakah di antara mereka yang
bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil itu?" ? (Surah al-Qalam,
ayat 39 hingga 40).